6 Disember 2019 - 16:51
PM Baharu Sudan Mahu Tarik Keluar Tentera Dari Yaman

Perdana menteri baharu Sudan, Abdalla Hamdok berikrar untuk menarik keluar tentera negara itu dari pakatan pimpinan Arab Saudi di Yaman.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana menteri baharu Sudan, Abdalla Hamdok berikrar untuk menarik keluar tentera negara itu dari pakatan pimpinan Arab Saudi di Yaman.

Beliau juga berkata bahawa peranan negaranya akan dihadkan di dalam kerangka politik untuk menyelesaikan konflik tersebut.

"Konflik tersebut tidak memiliki sebarang penyelesaian ketenteraan; tidak kira dari kami atau belahan dunia yang lain," kata Hamdok kepada "Atlantic Council" yang merupakan sebuah badan pemikir yang berpusat di Amerika Syarikat pada hari Khamis.

Beliau menambah dengan mengatakan bahawa perang itu "harus ditamatkan melalui pendekatan politik".

Selain itu beliau juga berkata bahawa "negaranya akan membantu saudara mereka di Yaman dan akan memainkan peranan berkaitan bersama dengan pihak lain dalam menyelesaikan masalah itu."

Sudan merupakan salah sebuah penyumbang di dalam pakatan pimpinan Arab Saudi yang terbentuk pada tahun 2015 dalam rangka Riyadh untuk menaikkan sekutunya di Sana'a dan dalam masa yang sama membasmi gerakan Ansarullah.

Menurut laporan, sekitar 40,000 ribu tentera Sudan telah ditugaskan di dalam pakatan tersebut sepanjang tahun 2016-2017.

Pada akhit Oktober lepas, para pegawai Sudan berkata bahawa negara itu telah menarik kembali ribuan tenteranya dengan hanya sedikit yang tersisa.

Bercakap pada hari Khamis, Hamdok sendiri berkata bahawa "tidak banyak" tentera Sudan yang masih berada di Yaman. -ABNA24